Rasul ialah manusia yg bijaksana . . on Saturday, September 1, 2012 @ 5:56 AM
Para Rasul adalah manusia yang paling
bijak dan cerdik yang dipilih oleh Allah S.W.T. Barangsiapa yang
benar-benar beriman dengan rukun iman kepada para anbiya' dan mursalin,
ertinya dia akan meneladani aspek kebijaksanaan yang wujud pada setiap
para Rasul.
Demikianlah sedikit rumusan yang
saya perolehi dari kitab Manhaj Haraki karangan Syekh Munir al-Ghadhban
ketika ghairah mengkaji fakta-fakta tersurat dan tersirat di sebalik
perang Ahzab (Khandaq) yang menyerlahkan beberapa elemen fathanah
(kebijaksanaan) Nabi S.A.W.

“Ketika kita
menggunakan istilah kebijaksanaan, kita tidak seharusnya lupa bahawa
kita sedang berhadapan dengan Rasul yang turun ke atasnya wahyu Ilahi.
Sesungguhnya Rasul dilengkapi oleh Tuhannya.
Namun kita dalam masa
yang sama tetap yakin bahawa Muhammad S.A.W adalah penghulu sekalian
anak-anak Adam dan beliaulah sebaik-baik manusia. Jika terdapat di
kalangan manusia seorang yang amat bijak, maka baginda lebih bijak
daripadanya tanpa syak lagi. Hal ini perlu dijelaskan kerana kita sering
menyangka bahawa Muhammad hanyalah sebagai alat untuk menerima wahyu
Ilahi semata, kemudian menyebarkannya di kalangan manusia.
Namun hakikatnya ialah
sejak awal-awal lagi Allah telah memilih “yang terbaik” dari kalangan
makhluk untuk menyampaikan perutusan-perutusan-Nya. Mereka yang terpilih
harus memiliki kebijaksanaan (fathanah), kecerdasan dan kepintaran yang
tidak dimiliki oleh selain mereka atau ia bersifat lebih dari yang
lain.
Firman Allah S.W.T :
"Apabila
datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata : "Kami tidak akan
beriman sehingga diberikan kepada kami serupa dengan apa yang telah
diberikan kepada utusan-utusan Allah". Allah lebih mengetahui di mana
Dia menempatkan tugas kerasulan..." (surah al-An'am : 124)
Di sini perlu dijelaskan
tentang satu poin yang agak penting ketika kita membicarakan topik
pemilihan Muhammad sebagai Rasul. Poin ini ialah pemilihannya sebagai
ikutan manusia sejagat, di mana semua manusia boleh mengikut atau
mencontohi pembawakannya. Manakala dari aspek wahyu Ilahi pula, ia sudah
sampai ke titik penghujung ketika wafatnya beliau. Oleh kerana itu
Allah telah memilih dari kalangan manusia juga untuk menyampaikan
perutusan-Nya, bukan seorang malaikat.
Firman Allah S.W.T :
"Dan
tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika
datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka
tentang manusia menjadi rasul, sehingga) mereka berkata dengan penuh
hairan : "Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul ?"
Katakanlah (wahai Muhammad) : Kalau ada di bumi malaikat yang berjalan
serta tinggal mendiami, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari
langit, malaikat yang menjadi Rasul." (surah al-Isra' : 94-95)
Para pendakwah sering
dikejutkan apabila mereka bercakap sesuatu tentang Rasul, tiba-tiba
terdengar suara-suara sumbang mengatakan, "Itu adalah Rasul, sedangkan
kita bukan Rasul." Sesungguhnya itu adalah kalimah yang benar tetapi ia
digunakan pada jalan yang batil. Mereka ingin terlepas dari
tanggungjawab dan bebas dari menjalankan suruhan Islam (agar turut sama
membijaksanakan diri) dengan berlindungkan ungkapan ini. Benar, beliau
Rasulullah dan (perlu diingatkan) juga benar baginda adalah ikutan
sejagat (ummat sepanjang zaman sebagaimana dalam surah al-Ahzab : 21).
Jika kita merenung
perbahasan ini dari sudut (faktor) kemanusiaan yang dimiliki oleh
Rasulullah, kesungguhan baginda memerangi musuh serta perancangan untuk
merealisasikannya, maka akan muncul satu perbahasan berikutnya iaitu
dari sudut berlakunya beberapa siri mukjizat Ilahi yang mengiringi
dakwah Rasulullah S.A.W susulan dari (tindakan) sekumpulan orang mukmin
yang berjaya (membawa tentera Islam) meraih kemenangan (dengan faktor
kebijaksanaan). Oleh itu kita cuba meneladani baginda dari sudut
melihatnya sebagai manusia biasa, seperti dalam kesungguhannya berperang
dan sebagainya yang telah disebutkan sebelum ini. Bermula dari sinilah
dengan kehendak Allah kita akan mencapai bantuan Ilahi dan keramat
Ilahiah yang diberi kepada wali-wali Allah, sebagaimana mukjizat kepada
para Nabi dan Rasul yang terpilih.
Syekh Said Ramadhan al-Buthi
ketika mensyarahkan maksud 'uswah hasanah' Rasululilah memberikan suatu
huraian yang cukup bermakna :
"Sejarah Muhammad S.A.W menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang :
1) anak muda yang waras akal fikirannya (model anak muda)
2) peribadi yang dipercayai keluarga dan sahabat (model sahabat dan ahli keluarga)
3) seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah dengan lemah lembut dan bersopan santun (model pendakwah)
4) seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah (model pejuang jihad)
5) seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar (model ahli politik)
6) seorang suami yang halus pergaulannya (model suami)
7) seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan pada anak dan isteri-isterinya (model bapa)
8) seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan taktik strategi persediaannya (model ketua tentera)
Kesimpulannya, baginda seorang
Muslim yang waras lagi bijak membahagikan masa kepada Allah, keluarga
dan sahabat handai. Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup
Muhammad S.A.W ialah memahami semua sudut kemanusiaan itu sendiri"
◀ ▶